Print
Dec
31

Masalah Komunikasi: Si Manja Gagap

Posted in: Komunikasi

Jarang sekali kita mendengar ucapan yang tersekat-sekat, pengulangan baris ayat dan patah perkataan yang tertinggal sewaktu berbual dengan seseorang. Sememangnya sesuatu yang janggal tetapi perkara ini boleh terjadi di kalangan kita. Speech disorder atau gangguan dalam pengucapan merupakan masalah yang berhubung kait dengan faktor genetik seseorang. Jika keturunan anda pernah menghadapi masalah ketidaklancaran ketika bercakap, besar kemungkinan anak anda juga boleh menghadapi masalah yang sama.

Usah terlalu risau. Terdapat banyak kes speech disorder yang sembuh serentak dengan perkembangan dalam kemahiran pengucapan. Masalah ini jarang berlanjutan  ke usia tua. Namun, perkara ini boleh sahaja timbul kembali jika mereka berasa gemuruh, risau, takut atau tertekan. Masalah gagap ini cukup popular dalam kalangan kanak-kanak dan sering sahaja dijadikan hiburan santai bagi si polan yang panjang ekor.

Sering dihadapi oleh kalangan kanak-kanak lelaki, gangguan pengucapan boleh dikesan seawal usia tiga atau empat tahun. Bukan sekadar gangguan, ia cukup memberi kesan kepada mereka daripada sudut fizikal, mental, emosi dan perhubungan mereka dalam anggota masyarakat.

Mereka yang menghadapi masalah ini pasti tertekan ketika bercakap. Selain itu rasa kurang selesa dan takut untuk berucap pasti timbul. Mereka akan cuba mengelak daripada disuruh bercakap di khalayak awam sementelah menyebut perkataan asing yang tidak diketahuinya. Sesetengah daripada mereka berasa takut dan malu terhadap kekurangan diri. Mungkin perkataan yang disebut itu pernah mendatangkan aib besar dan tercatat dalam lembar sejarah hidupnya. Siapa tahu, stigma masyarakat terhadapnya sangat buruk dan perkara sebeginilah yang harus ditangani dan didasari melalui penerapan nilai-nilai murni.

Sebagai ibu bapa, anda perlu memahami kehendak anak-anak. Jangan mementingkan diri atau memaksanya bercakap di khalayak umum. Jika dia mengalami gangguan percakapan, teruskan memberi galakan kepadanya. Sentiasa memberikan pujian kepada mereka agar mereka sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi dan keyakinan yang tinggi untuk berkata-kata.

Jika anak anda masih belum memahami gangguan pengucapan yang dialaminya, anda perlu menjelaskan kepada anak anda melalui cara yang berhemah. Cuba elak daripada terus memberi tip-tip yang anda peroleh di laman sesawang. Semakin panjang senarai kaedah untuk membantunya, semakin anda menjerut perasaannya. Sebaiknya, anda gunakan masa lapang yang anda miliki dengan berbual dengannya.

Bercakaplah dengan menekan setiap perkataan yang anda sebut agar jelas kedengaran. Ketika berbual, selitkan perkataan-perkataan baharu yang boleh dipelajari dan dipraktikkan. Anda tidak perlu melihat tepat ke wajahnya ketika dia sedang bercakap. Berkemungkinan besar dia beranggapan anda sedang menunggunya menghabiskan perkataan. Biar lambat, asalkan selamat. Begitulah asas baginya ketika bercakap. Jangan ganggu percakapannya atau menghabiskan butir perkataannya.

Kesimpulannya, seorang anak adalah anugerah yang dikurniakan Tuhan dan dibekalkan kelebihan yang tersendiri. Justeru, peranan ibu bapa bukan hanya terletak kepada membekalkan keperluan luaran anak-anak tetapi memahami setiap aspek kejiwaan anak-anak agar mereka lebih dihargai walau dibatasi apa-apa kekurangan.


Buletin Ameen